Sunday, 7 August 2016

Strategi Meningkatkan Ingatan

STRATEGI MENINGKATKAN DAYA INGATAN

Umumnya daya ingatan atau kemahiran kognitif seseorang itu akan berkurangan secara beransur-ansur selepas umur 27 tahun. Namun begitu, beberapa usaha boleh dilakukan untuk melambatkan penurunan kognitif ini dan seterusnya dapat meningkatkan semula daya ingatan, di samping dapat menghindari penyakit Alzheimer dan nyanyuk yang lain.



Pakar-pakar kognitif menggariskan beberapa kaedah bagi meningkatkan daya ingatan, iaitu dengan:
1. Senaman dan aktiviti fizikal (seperti berjalan, jogging, naik tangga bukan naik lift) secara rutin
Ini dapat menyihatkan jantung, kurang risiko obes dan diabetes kerana senaman ini dapat memperbaiki aliran darah ke otak dan menyebabkan kurangnya pengecutan otak.

2. Tukar rutin harian
Membuat rutin harian atau melihat perkara yang sama setiap hari menjadikan otak kita kurang berfungsi secara maksimum kerana tidak perlu berfikir. Ini menjadikan otak kurang aktif dan akan mempercepatkan lagi kemerosotan daya ingatan. Contohnya, tukar cat dinding atau wall paper, ikut jalan berlainan untuk pergi ke tempat biasa atau tempat kerja supaya otak lebih peka dan berfikir.

3. Tidur sekejap waktu siang
Kelebihan tidur sekejap waktu siang, sebaik-baiknya sebelum waktu zohor, sudah menjadi sunnah Rasulullah SAW sejak lebih daripada >1430 tahun yang lalu. Kini, kelebihan tidur sekejap waktu siang juga telah diakui oleh pakar kerana ia dapat mempercepatkan proses yang membantu otak menguat dan menyimpan ingatan bagi tempoh yang lama.

4. Minda fotograf
Ingatan diproses dan disimpan di kawasan berlainan dalam otak. Oleh itu, bagi membantu menguatkan ingatan, amalkan minda fotograf iaitu dengan cara tangkap gambar di minda menggunakan deria yang ada, seperti deria penglihatan (lihat dan ingat apa-apa yang anda lihat, perhatikan warna, tekstur, rupa bentuk yang unik, dsb. yang boleh mengingatkan anda sesuatu yang pernah dilihat.), deria bau (camkan bau-bau tertentu), deria rasa (camkan rasa tertentu) dan lain-lain.
Menggunakan minda fotograf ini dapat membantu anda mengingati sesuatu dalam tempoh yang lama.

5. Kurangkan makan
Kajian menunjukkan orang yang mengurangkan pengambilan kalori dalam makanan sebanyak 30% dapat skor ujian memori lebih baik 20% berbanding sebelumnya. Ini mungkin disebabkan oleh pengurangan tahap insulin dihasilkan kerana ia kurang diperlukan untuk memproses makanan yang berkurangan jumlahnya, dan juga pengurangan protein C-reaktif yang berkait dengan keradangan. Kedua-dua faktor ini dapat memperbaiki daya ingatan.
Kajian juga mendapati orang yang makan dengan diet Mediterranean iaitu makanan yang kaya dengan sayuran, kekacang, ikan dan minyak monotepu (seperti minyak zaitun), daging dan produk tenusu kurang lemak mempunyai risiko paling rendah menghadapi masalah kognitif dan penyakit Alzheimer.

6. Permainan melatih otak
Permainan latih otak seperti sudoku, silang kata, dan lain-lain, dapat membantu menguatkan daya ingatan dan melambatkan penyakit nyanyuk.

7. Melayari internet
Cuba mencari masa untuk melayari internet dalam tempoh tertentu bagi melatih otak semasa mencari maklumat. Pakar neurologi yang bernama Gary Small (Pengarah di UCLA Memory & Aging Center), USA yang juga pengarang buku iBrain mengatakan bahawa melayari internet untuk mendapat sesuatu maklumat juga dianggap sebagai kursus latihan otak, terutamanya bagi orang-orang yang berumur antara 55 hingga 76 tahun. Ini dapat membantu mereka dalam membuat keputusan kerana maklumat yang banyak dalam minda/otak.

8. Berhenti sekejap untuk minum teh atau kopi
Teh hijau dan teh hitam memberi kesan perlindungan ke atas ingatan dengan cara mempengaruhi dan merangsang enzim di dalam otak supaya berfungsi. Kafein yang banyak dalam kopi pula meningkatkan konsentrasi. Namun begitu, jangan minum kafein secara berlebihan jika mahu mendapatkan manfaatnya, terutamanya bagi melambatkan fenomena nyanyuk pada hari tua.

9. Mencegah Stress (kemurungan)
Depresi yang tidak dirawat boleh mengganggu memori/daya ingatan. Jika anda mengalami depresi, segera dapatkan nasihat dan rawatan doktor.

10. Amalkan multi-tasking (kerja pelbagai)
Multi-tasking atau kebolehan melakukan pelbagai kerja/tugas dalam satu masa boleh meningkatkan daya ingatan. Contohnya, dengar muzik atau radio sambil belajar. Dengan cara ini, ingatan boleh dikembalikan atau ditajamkan dengan mengingati sesuatu melodi tersebut. Jika tidak boleh membuat beberapa kerja dalam satu masa, anda perlulah belajar dan praktiskan.

11. Kawal tahap gula dalam darah
Kajian menunjukkan fungsi otak menjadi perlahan apabila tahap gula dalam darah naik. Ini kerana salur darah yang membekalkan darah ke otak rosak. Jika anda pengidap diabetes Type-2, tahap gula dalam darah perlu dikawal. Jika sekiranya anda bukan pesakit diabetes, berat badan yang normal perlu dijaga dengan mengamalkan diet seimbang dan kurangkan pengambilan gula dan karbohidrat bagi mengurangkan risiko mendapat diabetes.

12. Senaman mata
Gerakkan bola mata ke kiri dan ke kanan selama 30 saat sebagai senaman mata. Ini dapat membantu mencantumkan dua hemisfera otak. Apabila kedua-dua hemisfera otak dapat berkomunikasi dengan baik, maka sesetengah ingatan dapat dikembalikan atau dikeluarkan.

13. Makan sayuran hijau
Kekurangan folate dan vitamin B12 akan meninggikan risiko nyanyuk. Sayuran hijau pula merupakan sumber folate yang baik (contohnya, sayur salad, bayam, asparagus, parsley, brokoli, cauliflower (bunga kobis), beets dan sayur kacang) bagi mengurangkan nyanyuk. Selain itu, suplemen seperti vitamin C, gingko biloba, vitamin E dan kismis juga digalakkan.

14. Tangani apnea tidur
Orang yang mengalami apnea semasa tidur (iaitu keadaan yang melibatkan laluan udara tersumbat semasa tidur menyebabkan pernafasan terhenti sebentar) akan menyebabkan keadaan tisu di otak yang menyimpan memori akan merosot.

15. Belajar sesuatu yang baru
Dalam kehidupan seharian, banyak perkara atau aktiviti baru yang boleh dipelajari, selain daripada aktiviti yang biasa dilakukan secara rutin. Contohnya, permainan latihan minda yang baru, belajar bahasa baru, dan aktiviti-aktivi lain. Ini akan meningkatkan daya ingatan.

16. Berhenti merokok
Perokok mempunyai risiko tinggi mendapat penyakit Alzheimer lebih awal daripada bukan perokok.

17. Makan coklat hitam
Coklat hitam yang mengandungi sebatian epicatechin memberi kesan peningkatan daya ingatan seseorang kerana ia membantu pembinaan salur darah. Makanan lain yang mengandungi epicatechin ialah blueberries, anggur dan teh.

18. Letak barang-barang pada tempatnya
Ingatan kita juga perlu kepada sesuatu kedudukan barang yang biasa bagi membolehkannya berfungsi dengan baik. Contohnya, letakkan kunci, cermin mata, payung, remote control atau sebagainya di tempat yang sama setiap masa, jangan selalu diubah-ubah sana sini. Jika selalu ubah barang-barang yang digunakan setiap hari, boleh memeningkan kepala untuk mencarinya, terutama sekali kalau hendak cepat. Jika tenang dan fikirkan semula urutan kejadian tanpa gopoh, otak mampu berfungsi mengingatinya.
Bagi memudahkan diri sendiri mengingati sesuatu perkara, temu janji atau peristiwa, buatlah nota peringatan.

19. Majlis silaturrahim dengan rakan taulan

Mengadakan majlis perjumpaan, majlis ilmu dan bersilaturrahim sesama rakan-rakan dapat meningkatkan daya ingatan, terutamanya bagi warga emas dan mampu melambatkan risiko nyanyuk.




Bibliografi: http://www.alodokter.com/coba-pelajari-cara-meningkatkan-daya-ingat-di-sini

No comments:

Post a Comment